KLANG: Empat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) melaksanakan operasi empat penjuru bermula hari ini bagi memantau dan membanteras aktiviti jenayah terutama ketika musim perayaan sehingga 6 April depan.
Operasi berkenaan melibatkan IPD Shah Alam, Klang Utara, Klang Selatan, dan Kuala Langat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, bagi kawasannya terdapat empat sekatan jalan raya (SJR) di kawasan terpilih sepanjang 24 jam selama dua minggu bagi mengesan pergerakan penjenayah.
“Ia sekaligus dapat mengurangkan kadar jenayah di IPD masing-masing. Tujuan untuk pencegahan jenayah sebab kalau fokus satu IPD sahaja, penjenayah akan bebas bergerak.
“Dia (penjenayah) buat di IPD Klang Utara akan lari ke Klang Selatan atau Shah Alam dan Kuala Langat. Semuanya bersempadan dan wajar dilaksanakan dalam empat penjuru,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, konsep ‘snap check’ turut dilaksanakan di lokasi yang menjadi penyumbang kepada jenayah kekerasan dan harta benda.
Operasi (Op) Cantas juga dilakukan dalam mengesan suspek-suspek terlibat dalam kongsi gelap.
“Kita ada sasaran, buat tangkapan dan dokumentasi serta sebagainya. Ini bermakna Jabatan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial akan terlibat bersama-sama.
“Setiap tahun sempena Aidilfitri ada Op Pencegahan Jenayah namun kali ini kita lebih berfokus melibatkan empat jabatan itu,” ujarnya. – UTUSAN