SABAK BERNAM: Menyayatkan hati apabila mayat seorang bayi ditemukan orang awam dalam keadaan terlungkup dalam mangkuk tandas dekat sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, di sini, semalam.
Keadaan itu mencetuskan suasana gempar di stesen minyak berkenaan susulan bayi tersebut di dalam tandas wanita.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kejadian itu, kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Pemeriksaan kemudian menemukan mayat bayi yang tidak dikenal pasti jantina dan bangsanya. Pegawai perubatan kemudian mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia pukul 11.15 pagi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, polis sedang berusaha mengesan suspek utama dan kes disiasat disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Justeru, Md. Yusof meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi beberapa hantaran gambar tetmasuk lokasi kejadian dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang mengecam tindakan tersebut. – UTUSAN