KLANG: Seorang pengawal keselamatan cedera dilanggar kereta ketika cuba meleraikan satu pergaduhan di kawasan sebuah pusat hiburan di Bandar Botanik di sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu mengakibatkan mangsa lelaki berusia 33 tahun patah tulang pinggul dan luka di perut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian tersebut tular dalam media sosial dan siasatan pihaknya mendapati insiden pergaduhan itu melibatkan pelanggan di premis berkenaan.
“Ketika kejadian, beberapa pengawal keselamatan cuba meleraikan pergaduhan namun turut dipukul pelanggan.
“Salah seorang suspek bertindak di luar kawalan melanggar mangsa dengan sebuah kereta Honda City. Kemudian, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi rawatan lanjut dan dilaporkan stabil,” katanya petang tadi.
Tambahnya, hasil maklumat membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun hari ini bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek mempunyaj empat rekod jenayah lampau termasuk dadah.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 dan 148 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh serta merusuh menggunakan senjata,” ujarnya.
Bagaimanapun, Hoong Fong memaklumkan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN