SHAH ALAM: Enam individu diberkas bagi membantu siasatan kes pergaduhan pertandingan seni bela diri campuran (MMA) di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19 di sini, 23 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kesemua suspek itu terdiri daripada dua pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Siasatan sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut. Kita bercadang untuk mendakwa enam individu berkenaan ke mahkamah kelak.
“Namun, perkara itu bergantung sepenuhnya kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi membuat keputusan lanjut,” katanya ketika kepada pemberita, malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan suasana pertandingan MMA itu bertukar kecoh selepas berlaku pergaduhan melibatkan 15 penonton sebelum tular di media sosial.
Kejadian pukul 2.11 petang itu berpunca pertengkaran antara dua peserta yang telah dibatalkan penyertaan oleh penganjur kerana pihak lawan tidak hadir dan sakit.
Mereka kemudian bertengkar dan mengajak berlawan di atas gelangggang sebelum keadaan semakin tidak terkawal hingga menyebabkan penyokong masing-masing bergaduh serta membaling kerusi.
Suspek yang diberkas sebelum ini melibatkan tiga lelaki termasuk seorang warga emas berusia 40 hingga 61 tahun.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Iqbal, siasatan pihaknya mendapati kes berkenaan tiada melibatkan unsur kumpulan kongsi gelap.
“Pergaduhan itu berpunca daripada kedua-dua pihak yang mewakili persatuan seni bela diri masing-masing. Setakat ini, tiada sebarang tangkapan suspek lain berkaitan kes gaduh berkenaan,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN