SHAH ALAM: Tindakan seorang pelajar tingkatan lima menongkah arus kerana cuba lari daripada sekatan jalan raya dekat Kilometer 7.3 Persiaran Sultan, Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA), pada 8 Mac lalu menyebabkannya menderita patah paha kiri dan kedua-dua bahu akibat dilanggar
Remaja terbabit juga sanggup menunggang secara berbahaya dan menyeberangi pembahagi jalan untuk memasuki laluan bertentangan bagi mengelak ditahan polis, namun dilanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, remaja lelaki berusia 17 tahun itu sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dipercayai terkejut melihat sekatan jalan raya yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Menurutnya, dalam sekatan jalan raya yang dilakukan kira-kira pukul 9 malam itu, dia cuba ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang mengarahkannya berhenti sebelum dia tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ dan melawan arus.
“Penunggang motosikal tersebut kemudiannya dilanggar dan diseret oleh Toyota Hilux yang melalui lebuh raya berkenaan sehingga menyebabkan dia terjatuh dan mengalami kecederaan.
“Remaja itu kemudiannya dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut dan didapati mengalami kecederaan patah paha kiri, patah bahu kiri serta bahu kanan dan masih ditahan di wad hospital berkenaan sehingga kini,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Tambah Mohd. Iqbal, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
BSPT IPD Shah Alam turut menyiasat kes di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM4,000 dan maksimum RM10,000, dan boleh dipenjara tidak melebihi 12 bulan, serta sabitan hendaklah direkodkan pada lesen memandu.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2000 jika disabitkan kesalahan.
“Penunggang motosikal tersebut berumur 17 tahun, seorang pelajar Tingkatan 5 dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu serta cukai kenderaan motosikal tamat tempoh,” jelasnya.
Justeru, beliau menyarankan orang ramai untuk memastikan keselamatan di jalan raya dan hendaklah mematuhi peraturan lalu lintas yang telah ditetapkan seperti mempunyai lesen memandu dan menggunakan kenderaan yang mempunyai cukai jalan yang sah.
“Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor S. Vemal di talian 011-39216101 atau Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851,” ujarnya. – UTUSAN