SABAK BERNAM: Seorang ibu dan anak ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani di sini, Ahad lalu.
Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 18 dan 41 tahun itu diberkas di sekitar Meru, Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, penahanan pertama dilakukan di perkarangan kawasan sebuah kilang, kira-kira pukul 6.15 petang.
“Susulan tangkapan berusia 41 tahun itu, polis kemudian menahan seorang lagi suspek berusia 18 tahun, kira-kira pukul 8.30 malam. Suspek remaja itu merupakan pekerja restoran makanan segera dan hubungan mereka adalah ibu serta anak,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelas beliau, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza, telefon bimbit dan pakaian.
“Dua beranak itu direman selama empat hari sehingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit,” ujarnya.
Tambah Md. Yusof, bayi itu berjantina lelaki dan siasatan menyeluruh masih sedang dijalankan pihaknya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan suasana stesen minyak itu digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi di tandas wanita premis itu.
Menyayatkan hati apabila mayat itu ditemukan orang awam dalam keadaan terlangkup dalam mangkuk tandas, kira-kira pukul 12 tengah hari. – UTUSAN