KLANG: Seramai 15 orang termasuk lima warga Malaysia didakwa melakukan tindakan khianat apabila menyeleweng hampir tujuh tan metrik minyak masak peket sekilogram (kg) bersubsidi dipercayai untuk dijual semula kepada pihak industri.
Selain itu, aktiviti yang turut didalangi 10 warga Indonesia terbabit turut menyeleweng 2.6 tan gas petroleum cecair (LPG) yang juga bersubsidi bagi kegunaan isi rumah dipercayai untuk digunakan dalam pemindahan kandungan tong 14kg kepada 50kg untuk tujuan sama.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, kedua-dua aktiviti itu ditumpaskan pihaknya pada satu serbuan terhadap sebuah stor haram dekat Rantau Panjang, menerusi inisiatif Kita Gempur.
Menurutnya, pasukan KPDN Selangor melakukan risikan selama sebulan terhadap premis yang dijadikan pusat pemindahan minyak masak dan LPG itu menemukan kedua-dua bahan komoditi berkenaan masing-masing bernilai RM18,000 dan RM35,000.
“Kita mendapati lambakan kota mengandungi minyak masak jenis peket serta bungkusan plastik yang sudah dipotong dan peralatan lain termasuk empat lori tangki untuk memindahkkannya bagi kegunaan industri.
“Pasukan turut menemukan aktiviti decanting iaitu pemindahan gas LPG bersubsidi daripada tong 14kg kepada tong 50kg bagi kegunaan industri selain peralatan seperti hos penyambung yang digunakan bagi tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau stor tersebut.
Tambah Mohd. Zuhairi, selain tahanan terhadap suspek berusia 30-an itu, KPDN Selangor turut merampas empat lori berkenaan yang sebelum ini digunakan untuk penyimpanan diesel dan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM200,000.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang awalan dengan niat untuk melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga hingga lima tahun dan denda RM1 juta hingga RM3 juga bagi individu.
Sementara bagi syarikat, denda boleh dikenakan antara RM2 juta hingga RM5 juta.
“Selain itu, syarikat yang mengoperasikan premis itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tiga kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu ketika ia dilakukan atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi,” jelasnya.
Jelas Mohd. Zuhari lagi, menerusi Operasi (Op) Tiris 3.0 bagi tempoh Januari hingga Februari lalu di seluruh negara, KPDN merampas 104.5 tan minyak masak bernilai RM109,000 serta 130 ribu LPG bernilai RM1.64 juta.
“KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat.
“Orang rama yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi digesa menyalurkan aduan lengkap menerusi aplikasi Whatsapp di talian 019-8488000, portal eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN,” ujarnya. – UTUSAN