Tukang cuci terkena tembakan pada kaki, punggung

Tukang cuci terkena tembakan pada kaki, punggung

Tukang cuci
POLIS menjalankan siasatan kes tembak dekat sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / Afiq Razali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pekerja tukang cuci terkena dua daripada empat das tembakan di bahagian kaki dan punggung dalam kejadian tembak dekat sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, di sini, malam tadi.

Akibat kejadian tersebut lelaki berusia lewat 30-an itu yang sedang menyimpan peralatan mencuci di tingkat P1 terus melarikan diri masuk ke dalam kompleks berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek kes tersebut kemudian lari ke aras bumbung di P2 lalu menahan seorang pemandu kereta Perodua Ativa dan mengarahkan individu itu membawanya keluar untuk melarikan diri.

Menurutnya, sebelum menahan kereta terbabit, suspek melepaskan beberapa das tembakan yang sebahagiannya terkena pada cermin tingkap tangga dan pintu gelongsor di aras sama sebelum melarikan diri.

“Suspek kemudian mengacukan pistol kepada pemandu berkenaan dan memaksa lelaki itu untuk membawanya keluar dari kawasan Shah Alam dan ketika melalui sebuah lebuh raya, suspek meminta untuk berhenti di tepi jalan sebelum menghilangkan diri,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jelasnya, polis sudah pun mengenal pasti suspek susulan tujuh laporan polis diterima termasuk daripada tukang cuci dan pemandu berkenaan serta orang awam dan saksi yang berada di tempat kejadian.

“Kesemua saksi sudah diambil keterangan oleh polis termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli belah berkenaan..

“Suspek adalah seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an dan berkulit cerah. Polis sedang giat mengesan untuk menangkap suspek yang mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Motif kejadian masih di siasat,” tambahnya.

Hussein memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Kedua-dua akta itu masing-masing memperuntukkan hukuman mati dan penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd. Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau bilik gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis mengesahkan seorang lelaki cedera ditembak suspek di dalam sebuah pusat beli belah di Setia Alam di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu melibatkan mangsa yang juga orang awam.

Sementara tinjauan pemberita di lokasi berkenaan mendapati orang ramai berlindung di dalam premis kedai dan keluar dari panggung wayang selepas dikejutkan dengan insiden tembakan tersebut.

Kejadian itu mengakibatkan seorang lelaki cedera akibat ditembak suspek di kawasan tingkat bawah premis berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN