SHAH ALAM: Taktik licik satu sindiket memindahkan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi menggunakan lori di sebuah premis berlesen di Puchong sejak setahun lalu tumpas selepas digempur pihak berkuasa malam tadi.
Sindiket yang menggaji warga asing itu melakukan kegiatan ‘decanting’ atau pemindahan LPG ke dalam tong berkapasiti 50 kilogram (kg) untuk dijual kepada industri pada harga lebih murah.
Kesemua proses bagi aktiviti haram itu dilakukan di dalam beberapa buah lori ‘bonded’ diletakkan secara statik di dalam kawasan premis itu bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
Bagaimanapun, helah baharu itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor yang membawa kepada rampasan keseluruhan termasuk kenderaan bernilai RM1.6 juta, kira-kira pukul 11 malam.
Pengarah KPDN negeri, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya hasil maklumat dan risikan selama sebulan berhubung aktiviti penyelewengan LPG dan mendapati premis yang menjalankan urus niaga membekal dan mengedar bahan itu merupakan pemborong berlesen.
“Namun, serbuan menemukan beberapa peralatan seperti hos penyambung dan tong berisi ais yang dipercayai digunakan bagi proses decanting.
“Sindiket itu disyaki melakukan pemindahan kandungan LPG daripada tong berkapasiti 14kg bersubsidi kepada tong LPG 50kg,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar, hari ini.
Jelasnya, siasatan awal pihaknya mendapati sindiket itu menjual gas berkenaan dengan harga RM190 satu tong kepada industri berbanding RM220 bagi pasaran sebenar.
“Secara puratanya, mereka dipercayai boleh memindahkan tong LPG 15kg antara 100 hingga 300 tong sehari. Tempoh pemindahan gas bagi setiap tong kebiasaannya selesai dalam tempoh 45 minit,” ujarnya.
Tambah Mohd. Zuhairi, ketika serbuan seramai 21 lelaki termasuk pemilik premis dan 17 warga asing berusia 30 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Sitaan melibatkan lebih 4,000 tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14kg dan 50kg selain 17 lori, peralatan dan beberapa dokumen perniagaan. Kes berkenaan disiasat Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan kita turut sedang mengenalpasti rantaian pengedaran LPG tersebut,” katanya. – UTUSAN