SHAH ALAM: Polis mengesahkan seorang lelaki cedera ditembak suspek di dalam sebuah pusat beli belah di Setia Alam di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu melibatkan mangsa yang juga orang awam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan setakat ini mendapati lelaki itu ditembak seorang suspek di kawasan premis tersebut.
“Mangsa bagaimanapun disahkan selamat dan dihantar ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.
“Suspek terlibat telah melarikan diri dan pusat beli belah ini disahkan selamat untuk beroperasi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih sedang dijalankan polis di lokasi kejadian.
“Sebarang maklumat terperinci akan dimaklumkan kepada media dalam masa terdekat,” ujarnya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sepasukan anggota polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.
Difahamkan, lelaki warga tempatan melepaskan tembakan di dalam pusat beli belah itu sebelum bertindak melarikan diri.
Susulan insiden itu, seorang lelaki telah tercedera akibat terkena tembakan di bahagian kaki.
Terdahulu, tular di media sosial pengunjung bergegas keluar selepas insiden itu dipercayai melibatkan satu rompakan kedai emas di dalam pusat beli belah berkenaan. – UTUSAN