PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya lelaki warga tempatan yang melepaskan tembakan di sebuah pusat membeli-belah di Setia Alam, Shah Alam dekat sini malam tadi masih berada di sekitar Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan usaha memburu lelaki tersebut sedang dilakukan.
“Sekiranya ada keperluan, fotofit suspek akan diedarkan ke kontinjen lain bagi menjejakinya.
“Bagaimanapun, Kontinjen Selangor kini sedang memburu suspek dipercayai masih berada dalam negeri ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Hussein, pihaknya akan menghantar peluru ke Jabatan Kimia untuk ujian balistik.
Terdahulu, media melaporkan polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam dekat sini malam tadi.
Hussein dilaporkan berkata, lelaki warga tempatan berumur 30-an yang berkulit cerah itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Katanya, pihak polis telah menerima tujuh laporan polis yang dibuat oleh saksi awam dan beliau menggesa mereka yang melihat atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Mohd Afandi Ahmad menerusi talian 016-7252948.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati.
“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun, jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN