SHAH ALAM: Polis melakukan pengimejan tiga dimensi (3D) dan membuat lakon semula atau simulasi berhubung insiden kematian mendiang Teo Beng Hock bagi mendapatkan gambaran tragedi tersebut yang berlaku 15 tahun lalu.
Pengarah Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya turut meminta bantuan anggota bomba untuk melakonkan semula kebarangkalian kematian itu dilakukan individu lain terhadap Beng Hock termasuk tindakan bunuh diri.
“Kehadiran anggota bomba di lokasi kejadian adalah untuk menunjukkan kepada kami, mereka yang mempunyai ketinggian hampir sama dengan mendiang melakonkan semula kebarangkalian situasi seperti terjun sendiri atau dipaksa dan sebagainya dari tingkap stor itu.
“Itu adalah ujian untuk memuaskan hati (pasukan penyiasat), sesebuah tindakan boleh berlaku dalam situasi yang berbeza,” katanya ketika ditemui, malam tadi.
Terdahulu beliau hadir ke lokasi kejadian dekat Plaza Shah Alam (dahulu dikenali sebagai Plaza Masalam), Seksyen 9, di sini bagi melihat sendiri siasatan anggota forensik terhadap kes tersebut.
Jelasnya, polis turut menggunakan dua buah mesin, iaitu mesin 3D Scanner For Crime Scene Reconstruction dan sebuah dron untuk membina semula lokasi kejadian, seperti lokasi kejadian kira-kira 15 tahun lalu.
Mohd. Shuhaily memberitahu, pihaknya akan mengambil masa satu ke dua minggu bagi mendapatkan keputusan hasil siasatan hari ini.
“Anggota saya berada di lokasi sejak pukul 10 pagi untuk membuat kerja siasatan di lokasi kejadian hari ini.
“Kesemua imej itu (dari pengimbas 3D dan dron) akan dijana bagi memberikan gambaran bangunan (Plaza Shah Alam) dan lokasi kejadian,” ujarnya.
Tanbahnya lagi, lokasi kejadian yang dahulunya sebuah pejabatk, kinj menjadi stor menyimpan perabot milik sebuah kedai dekat pusat beli-belah berkenaan.
Mohd. Shuhaily turut memaklumkan setakat ini polis memanggil lima saksi lama bagi memberi keterangan semula terhadap siasatan yang kembali dilakukan berhubung kes kematian mendiang Beng Hock.
“Buat masa ini, saya tidak boleh mendedahkan siapa lima saksi yang telah kami panggil. Namun kita akan memanggil saksi lain untuk siasatan kali ini. Lebih 40 saksi dipanggil bagi membantu siasatan kes tersebut, sebelum ini,” jelasnya.
Katanya lagi, polis akan kembali lokasi kejadian sekiranya memerlukan beberapa maklumat lagi bagi melengkapkan siasatan.
Pada 21 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melengkapkan siasatan kes kematian mendiang dalam tempoh enam bulan.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat perintah berkenaan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu mendiang terhadap Ketua Polis Negara, Pengarah JSJ, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan bersetuju polis membuka semula kertas siasatan kes kematian Beng Hock. – UTUSAN