KUALA SELANGOR: Seorang penganggur diberkas bagi membantu siasatan kes wanita berusia 73 tahun yang cedera ditumbuk selepas rumahnya di Kampung Pasir Tuntong di sini, diceroboh Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azharudin Tajuddin berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan pihaknya di tepi jalan sekitar bandar Kuala Selangor, pukul 7.45 pagi tadi.
“Suspek itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Selangor bagi siasatan dan tindakan lanjut. Permohonan reman ke atas lelaki itu akan dibuat bagi proses siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 447/ 323 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan mencederakan mangsa.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan seorang wanita warga emas cedera dan polis menerima laporan kejadian itu, kira-kira pukul 5.50 petang.
Siasatan awal mendapati mangsa didatangi suspek yang masuk melalui pintu rumah yang terbuka lalu menerkam dan menumbuknya.
Sewaktu pergelutan, mangsa menjerit meminta pertolongan dan suspek segera keluar melarikan diri sementara wanita warga emas itu kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi rawatan lanjut akibat kecederaan lebam pada mata kiri dan luka di bibir.
Selain muka dan kepala, mangsa didakwa turut cedera di bahagian lidah sehingga perlu dijahit. – UTUSAN