Pasar Besar Klang kena serbu lagi

Pasar Besar Klang kena serbu lagi

Pasar Besar Klang
WARGA asing cuba melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalam satu serbuan bersepadu dekat Pasar Besar Klang, Meru, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tak cukup gari, masih ramai warga asing disyaki tiada dokumen pengenalan diri ditahan, demikian keadaan di Pasar Besar Klang dekat Meru di sini yang diserbu kali kedua oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, pada awal pagi, hari ini.

Dalam operasi bersepadu bermula pukul 5.30 pagi itu, seramai 630 warga asing ditahan dan diperiksa oleh pihak berkuasa selepas menyerbu dan memeriksa keseluruhan kawasan pasar awam yang menempatkan 721 unit ruang niaga.

Tinjauan pemberita ketika operasi tersebut mendapati sekumpulan warga asing cuba melarikan diri untuk mengelak daripada ditahan ketika menyedari kehadiran pihak berkuasa di lokasi tersebut.

Malah, ada antara mereka yang cuba bersembunyi di dalam premis tidak berpenghuni, atas tembok ruang niaga serta di dalam longkang semata-mata untuk mengelak daripada dicekup.

Bagaimanapun, mereka berjaya dikesan dan ditahan menerusi pemeriksaan secara menyeluruh di setiap bahagian ruang niaga pada tiga blok yang merangkumi kategori jualan ikan, ayam, sayur-sayuran serta bazar rakyat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, operasi tersebut diadakan dengan kerjasama 69 anggota dan pegawai imigresen, 52 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), 26 pegawai dan anggota Majlis Bandaraya Diraja Klang serta enam pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, dalam operasi tersebut seramai 630 orang terdiri daripada 530 dari Myanmar (Rohingya), 85 (Bangladesh), sembilan (Indonesia) termasuk dua wanita serta seorang dari Nepal.

“Kesemua berusia antara 17 hingga 57 tahun. Kesemua akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih. Di antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa.

“Bagaimanapun pada pemeriksaan tadi seramai 32 dibebaskan (mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah),” katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut, hari ini.

Tambahnya, kesemua kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kami menyeru masyarakat untuk sama-sama menyampaikan sebarang maklumat berkenaan individu yang menjalankan aktiviti meragukan dan menyalurkannya kepada kami supaya tindakan selanjutnya dapat diambil untuk memastikan negara kita berada dalam keadaan kondusif dan tiada masalah sosial,” ujarnnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pasar awam terbesar di Klang itu diserbu pada November tahun lalu dan April 2023 oleh pelbagai agensi penguat kuasa selepas dikenal pasti menjadi tumpuan PATI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya