SHAH ALAM: Kelewatan bayaran gaji dipercayai menjadi punca seorang penyelia kedai runcit warga Bangladesh maut ditetak pekerjanya sendiri di premis itu di Seksyen 7 di sini, kelmarin.
Kejadian itu mengakibatkan lelaki berusia 45 tahun ditetak dengan pisau pemotong daging oleh suspek lelaki yang juga warga negara sama berusia 30-an.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang awam mengenai kes tetak di hadapan kedai itu, pukul 8.26 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa yang terbaring meninggal dunia dengan kesan kecederaan di kepala, badan dan tangan.
“Siasatan mendapati pertengkaran mulut berlaku antara mangsa dengan seorang lelaki yang juga salah seorang pekerjanya berkaitan kelewatan bayaran gaji.
“Keadaan kemudian tidak terkawal apabila berlaku pergelutan antara mereka dan mangsa diserang dengan pisau dan ditetak berulang kali sehingga jatuh terbaring di lokasi kejadian,” katanya malam tadi.
Jelas Mohd. Iqbal, hasil maklumat kemudian membawa kepada penahanan lima warga asing termasuk dua wanita dan suspek utama berusia 33 hingga 53 tahun, pukul 1.49 petang hari sama.
“Semakan lanjut mendapati mereka tiada rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing negatif dadah. Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd. Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau balai polis berdekatan. – UTUSAN