PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekod kan 2,180 kes kecurian elektrik membabitkan aktiviti perlombongan kripto dengan kerugian RM467.6 juta dalam tempoh empat tahun sejak 2020 hingga tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah itu membabitkan 54 kes bagi tahun 2020 dengan kerugian RM5.9 juta diikuti 529 kes dengan jumlah kerugian RM140.4 juta pada 2021.
Katanya, jumlah kes tersebut turut meningkat pada 2022 dengan sebanyak 692 kes dilaporkan dengan kerugian dialami Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira RM124.96 juta manakala terdapat penurunan kes tahun 2023 iaitu 358 kes dengan kerugian RM67.1 juta.
“Pada tahun lalu, sebanyak 547 kes dengan kerugian RM128.1 juta. Peningkatan tersebut berlaku berikutan kadar pasaran mata wang kripto telah meningkat.
“Negeri tertinggi paling banyak berlaku kes kes curi elektrik adalah Selangor (612), Perak (470), Kedah (312), Johor (136), Negeri Sembilan (118), Pulau Pinang (108) dan Kuala Lumpur (103),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Razarudin berkata, kebanyakan premis perlombongan kripto dijalankan di premis komersial.
Beliau berkata, sindiket turut menjadikan pangsapuri sebagai okasi melombong kripto namun jumlahnya adalah kecil.
“Pemilik premis tidak menyedari kegiatan dan tidak tahu bahawa premis mereka disalahgunakan oleh penyewa premis baharu. Kebanyakan sindiket yang menjalankan aktiviti perlombongan kripto akan menggunakan dokumen palsu untuk perjanjian sewaan premis,” katanya.
Kata beliau, modus operandi sindiket ini dengan mengubahsuai meter TNB daripada kotak suis (sebelum meter) dan sambungan terus dari peti suis elektrik (feeder pillar)
“Proses ini menfokuskan kepada pengubahsuaian melibatkan bekalan voltan tinggi terutamanya kawasan yang mempunyai bekalan elektrik tiga fasa.
“Kerjasama antara PDRM dan TNB dalam usaha menangani kegiatan curi elektrik bagi perlombongan kripto bermula pada 2020 melalui Op Elektrik. Oleh itu kami akan mempertingkatkan serbuan bagi membanteras gejala ini daripada berleluasa,” katanya.-UTUSAN.