KLANG: Seorang pengurus syarikat pembaikan kontena kerugian RM59,000 selepas semua wang gaji pekerjanya itu dicuri dalam sebuah restoran dekat Bandar Bukit Tinggi, di sini, 14 Februari lalu.
Kejadian berkenaan berlaku ketika lelaki warga asing berusia 48 tahun itu sedang menunggu seorang pekerjanya, kira-kira pukul 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati mangsa datang ke restoran itu dengan membawa beg komputer riba yang berisi wang.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa duduk di meja dan mahu memesan minuman sementara menunggu pekerjanya.
“Seorang lelaki kemudian memasuki restoran itu dan berlegar-legar dalam premis sebelum mencuri beg komputer mangsa. Kemudian, suspek melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Persona bersama rakan jenayahnya yang menunggu di luar,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Hoong Fong, pihaknya sedang mempergiatkan usaha mengenal pasti dan menahan suspek terlibat.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan ditalian 03-33762222 atau balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut,” ujarnya.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 45 saat. – UTUSAN