Berlindung dalam kedai, keluar panggung wayang selamatkan diri

Berlindung dalam kedai, keluar panggung wayang selamatkan diri

Ditembak
ANGGOTA polis mengawal kawasan kejadian di pusat beli belah di Setia Alam, Shah Alam, Selangor, awal pagi ini. - UTUSAN / Iskandar Shah Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Berlindung di dalam premis kedai dan keluar dari panggung wayang, demikian situasi cemas ditempuh pengunjung sebuah pusat beli-belah dekat Setia Alam di sini, yang dikejutkan dengan insiden tembakan, malam tadi.

Kejadian itu mengakibatkan seorang lelaki cedera akibat ditembak suspek di kawasan tingkat bawah premis berkenaan.

Pengunjung wanita berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dia bersama beberapa ahli keluarga sedang makan di sebuah kedai dalam pusat beli belah itu, kira-kira pukul 9.45 malam.

“Tidak lama kemudian, saya terkejut apabila mendengar bunyi tembakan dan segera keluar menyelamatkan diri. Pada waktu itu, saya melihat ada pengunjung lain turut berlindung dalam premis yang pintu pagarnya ditutup secara automatik,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, pengunjung dikenali sebagai Nazeem, 30-an memberitahu, ketika kejadian dia sedang menonton wayang di tingkat atas premis berkenaan.

“Selepas hampir 30 minit, saya pelik apabila diarah bersama orang awam lain supaya segera keluar dari panggung. Saya kemudian diberitahu berlaku insiden tembakan di sana,” ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ratusan pengunjung bergegas keluar dari bangunan premis itu yang turut dikawal ketat polis bagi menjalankan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Golden Screen Cinemas (GSC) memaklumkan akan membayar semula kepada pelanggan yang membeli tiket dalam talian untuk tayangan malam tadi.

Bayaran balik akan diproses secara automatik dan dikreditkan semula dalam masa 14 hari bekerja dan tiada tindakan lanjut diperlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN