KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti kemungkinan suspek kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor Sabtu lalu berada di bawah pengaruh dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, siasatan dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dibuat selepas suspek dilaporkan memiliki 11 rekod jenayah termasuk dadah.
“Setakat ini JSJN belum dapat mengesahkan lagi bahawa suspek berusia 30-an itu berada dalam pengaruh dadah semasa kejadian tembak berlaku.
“Dalam kes tersebut, pihak JSJN akan membantu Ketua Polis Selangor dan JSJ dalam melengkapkan siasatan kes berkenaan dan ia juga berdasarkan keperluan siasatan.
“Namun kita (JSJN) tidak dapat mengesahkan sama ada suspek terbabit dalam penyalahgunaan dadah atau berada di bawah pengaruh dadah semasa kejadian berlaku hanya kerana dia memiliki rekod jenayah berkaitan kesalahan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pekerja tukang cuci terkena dua daripada empat das tembakan di bahagian kaki dan punggung dalam kejadian tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam.
Akibat kejadian tersebut, lelaki berusia lewat 30-an itu yang sedang menyimpan peralatan mencuci di tingkat P1 terus melarikan diri masuk ke dalam kompleks berkenaan untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek kemudian lari ke aras bumbung di P2 lalu menahan seorang pemandu kereta Perodua Ativa dan mengarahkan individu itu membawanya keluar untuk melarikan diri.
Menurutnya, sebelum menahan kereta terbabit, suspek melepaskan beberapa das tembakan yang sebahagiannya terkena pada cermin tingkap tangga dan pintu gelongsor di aras sama sebelum melarikan diri. – UTUSAN