SHAH ALAM: Polis mengesahkan seorang maut manakala seorang lagi parah akibat ditembak selepas diperiksa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dekat Tanjung Rhu, Kuala Langat, awal pagi semalam.
Maklumat tersebut diterima daripada seorang pegawai perubatan Hospital Sultan Idris Shah, Serdang yang membuat laporan di balai polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat selepas menerima tiga pesakit dengan kesan tembakan pada anggota badan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, pasukan penguatkuasa terbabit mendakwa bot mereka dilanggar sebanyak empat kali oleh bot warga asing itu sebelum dua lelaki berkenaan cuba menyerang penguat kuasa dengan parang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan cubaan serangan itu, pasukan Maritim Malaysia melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot sebelum warga asing terbabit melarikan diri dalam keadaan gelap.
Menurutnya, penguatkuasa maritim itu kemudian menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 9 pagi yang menyatakan terdapat sebuah bot terdampar di pesisir Pantai Morib, Kuala Langat.
“Maritim Malaysia pergi ke lokasi berkenaan dan menemukan dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum mereka menunda bot tersebut sehingga ke pengkalannya di Pelabuhan Klang dan mendapatkan bantuan ambulan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki meninggal dunia manakala seorang lagi masih hidup namun dalam keadaan kritikal dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Jelasnya, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Tambah Hussein, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 186 kanun sama atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.
“Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera dalam insiden tembakan dekat perairan berhampiran Pantai Morib.
Hussein memberitahu, identiti individu yang terbunuh masih belum dikenal pasti, manakala empat mangsa lain dipercayai warga Indonesia. – UTUSAN