JASIN: Gara-gara tidak berpuas hati terhadap perlawanan melibatkan dua pasukan kriket di Nepal yang berlangsung kira-kira dua bulan lalu, seorang pemandu lori warga negara itu sanggup menikam rakan senegaranya menggunakan sebilah pisau ketika mangsa sedang tidur.
Insiden yang berlaku di asrama milik sebuah kilang di Kampung Pondok Kempas di sini, kelmarin menyebabkan mangsa berusia 28 tahun itu cedera parah pada bahagian kepala, dada dan lengan.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham serta rasa tidak puas hati berkaitan sokongan terhadap perlawanan melibatkan pasukan kriket sehingga membawa kepada pergelutan antara mereka.
“Insiden pergelutan tersebut telah dileraikan oleh rakan seasrama yang turut berada di lokasi kejadian dan suspek telah bertindak menikam mangsa dengan menggunakan pisau sewaktu mangsa sedang tidur.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa bekerja sebagai operator pengredan telur di sebuah kilang di Kampung Pondok Kempas. Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, tangan serta dada dan menerima rawatan di unit rawatan rapi sebuah hospital di Jasin,” katanya.
Tambah Md. Nazri, suspek berumur 23 tahun itu ditahan di belakang asrama berkenaan, semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.
Jelasnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan cedera parah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan,” katanya. – UTUSAN