MELAKA: Menggunakan orang tengah bagi mendapatkan barangan kawalan berjadual seperti gula dan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram (kg) dengan harga belian lebih tinggi daripada pasaran.
Itu modus operandi dipercayai digunakan oleh tiga premis menjual makanan di sekitar negeri ini iaitu restoran makanan arab, restoran makanan 24 jam dan sebuah perusahaan makanan bergoreng ketika diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), semalam.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, serbuan menemukan sebanyak 62 kg gula pasir kasar, 24 kg gula pasir halus, 50 kg tepung gandum dan 158 kg minyak masak peket bersubsidi di ketiga-tiga premis.
“KPDN telah membuat tinjauan selama dua minggu ke atas premis ini. Siasatan awal mendapati, modus operandi yang digunakan bagi mendapatkan barang kawalan melalui adalah orang tengah dengan harga belian yang lebih tinggi dari pasaran.
“Mereka melakukan sedemikian memandangkan premis tidak mempunyai sebarang kebenaran pengawal yang sah untuk memiliki barang kawalan.
“Mereka membuat belian barang kawalan melalui premis runcit yang berdekatan dengan tujuan digunakan di premis perniagaan masing-masing. Jumlah sitaan yang direkodkan adalah bernilai RM1,059.70,” katanya.
Tambah Norena, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya meminta orang ramai menyalurkan sebarang aduan yang melibatkan kepenggunaan melalui saluran disediakan agar tindakan berdasarkan lunas undang-undang dapat dijalankan.
“KPDN Melaka kekal komited dalam melaksanakan inisatif ‘Kita Gempur’ dalam memastikan hak pengguna di negeri ini akan terbela. Kita mengingatkan kepada para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
“Pegawai Penguatkuasa KPDN sentiasa bersedia dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku,” tegasnya. – UTUSAN