SHAH ALAM: Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan tindakan sekumpulan individu memakai pakaian menyerupai pasukan beruniform dalam satu majlis supaya tampil memberi maklumat.
Hal demikian berikutan tular sebuah video dalam media sosial memaparkan individu-individu berkenaan mengenakan pakaian menyerupai pasukan penguatkuasa serta uniform istiadat yang lengkap berselempang dan pingat atau darjah kebesaran.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan sedemikian mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai yang beranggapan perbuatan tersebut bukan satu kesalahan.
Menurutnya, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengesan video berkenaan tular dalam media sosial TikTok menerusi akaun milik @haris2.03, semalam kira-kira pukul 2.30 petang.
“Akibatnya, ia boleh menjurus kepada tindakan yang melanggar undang-undang termaktub di bawah undang-undang negara,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelas Hussein, susulan itu, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan, Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Jika disabitkan dengan kesalahan, individu terlibat boleh dihukum mengikut akta masing-masing iaitu penjara maksimum tiga bulan atau setahun dan denda pula antara RM1,000 dan RM3,000,” ujarnya.
Justeru, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222, atau balai polis untuk membantu siasatan.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia dalam laman media sosial terbabit mengesan video berkenaan berpunca daripada seorang pengguna atau individu lain yang turut memuat naik beberapa keping gambar.
Gambar tersebut memaparkan beberapa individu mengenakan uniform dan ada antara mereka sedang menerima anugerah dalam satu majlis.
Malah, pemerhatian menerusi video tular tersebut kedengaran pengacara majlis mengalu-alukan ketibaan tetamu kenamaan yang bergelar maharaja.
“Mengumumkan keberangkatan tiba maharaja…,” katanya.
Dalam majlis tersebut, individu yang hadir turut menyanyikan lagu Negeri Selangor, Negaraku dan lagu identiti pertubuhan itu sebaik sahaja tetamu kenamaannya mengambil tempat di dalam dewan.
Menerusi ruangan komen pula, rata-rata pengguna mendakwa pasukan berkenaan adalah sebuah pertubuhan dinamakan sebagai Paskad yang berpenaran sebagai organisasi bukan kerajaan (NGO) membantu mangsa banjir dan bencana lain. – UTUSAN