KUALA LANGAT: Seorang bayi lelaki dibawa ke klinik, di sini dalam keadaan pucat, kebiruan dan tidak bernafas sebelum disahkan meninggal dunia pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, bayi berusia empat bulan berkenaan berada dibawah jagaan pengasuh dari sebuah taska sebelum dibawa ke klinik berkenaan.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada doktor yang bertugas di klinik berkenaan kira-kira pukul 3.39 petang dan diberitahu sudah melakukan usaha menyelamat bayi berkenaan sebelum merujuknya ke Hospital Cyberjaya.
“Doktor dari klinik di kawasab Bandar Saujana Putra itu mengatakan bayi berkenaan dibawa dalam keadaan pucat, kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi dan nafas serta anak mata yang tidak menunjukkan reaksi ketika disuluh dengan lampu.
“Pengadu serta merta melakukan CPR dan memberikan bantuan oksigen sementara menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Cyberjaya.
“Kira-kira pukul 4.35 petang, Hospital Cyberjaya menerima bayi itu dan melakukan CPR lebih 30 minit, tetapi tiada tindak balas dan doktor mengesahkannya meninggal dunia kira-kira pukul 5.05 petang,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Justeru polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Jelasnya, sabit kesalahan pengasuh terbabit boleh dipenjara selama 20 atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Malah, Mohd. Akmalrizal memberitahu taska tempat asuhan bayi berkenaan belum mendapat kebenaran untuk beroperasi.
“Setakat sekarang tiada tangkapan lagi dibuat. Keterangan diambil bagi kes itu terhadap pengusaha dan pekerja. Premis berkenaan tidak berlesen dan permohonan sudah dihantar, tetapi belum diluluskan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Mohd. Akmalrizal menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyeru mana-mana individu mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31972222.
Terdahulu tular hantaran dalam laman media sosial, X yang dibuat oleh seorang pengguna @mhmmdhsm dengan menyatakan rasa sedih terhadap nasib yang menimpa bayi berkenaan dan kedua ibu bapanya.
“Sedih baca apabila anak baru empat bulan hantar ke pusat asuhan sihat dan bernyawa tetapi dapat voice note dari tempat asuhan anak sudah tak bernyawa.
“Tolonglah bantu parents itu dapat keadilan daripada taska asuhan yang tiada hati perut,” tegasnya. – UTUSAN