Lelaki dengar ‘bisikan’ lempar tukul besi ke balai polis

Lelaki dengar ‘bisikan’ lempar tukul besi ke balai polis

TUKUL besi yang digunakan suspek untuk memecahkan cermin hadapan Balai Polis Tanjung Keling, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis menahan seorang lelaki dipercayai kurang siuman bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat dengan kes khianat kerana memecahkan cermin hadapan Balai Polis Tanjung Keling di sini menggunakan tukul besi, Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 25 tahun itu dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi di sebuah rumah di Tangga Batu.

Katanya, hasil soal siasat suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut dan mendakwa berasa marah selepas terdengar bisikan yang menyebabkannya bertindak membaling sesuatu ke arah balai polis.

“Suspek juga mengaku menunggang motosikal milik adik perempuannya sebelum berhenti di pekarangan balai polis. Lelaki dipercayai kurang siuman itu mendakwa terdengar bisikan di telinga yang membuatkannya berasa marah.

“Disebabkan itu suspek bertindak melemparkan sebatang tukul besi yang dibawa dari rumah ke arah balai polis menyebabkan cermin hadapan pecah,” katanya.

Tambah Md. Nazri, polis turut merampas sebuah motosikal, topi keledar, sepasang kasut, pakaian dan kunci motosikal dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

“Siasatan lanjut mendapati insiden tersebut tiada sebarang unsur sabotaj atau elemen subversif terhadap mana-mana pihak. Ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas penyalahgunaan dadah.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga 13 Januari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 427 KK dan Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya