KLANG: Seorang lelaki disyaki mabuk bertindak nekad melanggar kon sekatan jalan raya (SJR) dengan memecut laju keretanya bagi mengelak ditahan polis dekat Jalan Langat di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu melibatkan suspek berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta jenis Honda Civic dalam keadaan lajunamun, namun enggan berhenti ketika diarahkan untuk pemeriksaan sebelum memecut dan melanggar beberapa kon.
Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan selepas dikejar anggota trafik bermotosikal sejauh satu kilometer (km) dan siasatan mendapati pemandu terbabit memandu di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bermula pukul 12 tengah malam.
Menurutnya, seramai 80 individu dan 100 kenderaan diperiksa selain sebanyak 50 saman dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan.
“Dalam operasi selama empat jam itu, kesalahan tertinggi melibatkan tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Polis turut menahan seorang lelaki yang memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam operasi sama, seorang pemandu warga asing dan rakannya yang menaiki kereta Proton Saga serta turut ditahan kerana melakukan kesalahan tiada memiliki lesen memandu yang
sah dan cukai jalan tambah tempoh.
Justeru, Hoong Fong mengingatkan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan pengguna lain terutama di Klang,” tambahnya. – UTUSAN