SHAH ALAM: Polis mempercayai kematian seorang remaja berusia 15 tahun yang mayatnya ditemui dalam keadaan reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang sebelum ini berpunca daripada perselisihan faham dan pengambilan dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat serta keputusan toksikologi untuk mengesahkan perkara tersebut.
“Berdasarkan ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek termasuk teman lelaki mangsa berusia 16, 20, dan 51 tahun adalah negatif. Masih tunggu keputusan toksikologi sama ada si mati ada menggunakan sebarang bahan dadah.
“Motif kita nampak mangsa melibatkan teman lelakinya masih dalam siasatan lagi sama ada libatkan perselisihan faham sehingga kematian atau dadah.
“Selagi tidak dapat keputusan itu (toksikologi dan bedah siasat), tidak boleh kata mengambil dadah atau overdose,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun keadaan mayat yang reput ketika dijumpai itu menyukarkan pihak pakar patologi untuk memastikan sebarang kecederaan fizikal yang lain.
Jelasnya lagi, pihaknya percaya penglibatan teman lelakinya dalam pembuangan mayat mangsa, namun sedang menyiasat jika terdapat pihak lain turut membantu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kehilangan Yap Xin Yuan sejak 19 Disember lalu terbongkar apabila mayatnya ditemui dalam keadaan reput di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang pada 30 Disember lalu.
Xin Yuan hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu dengan polis menerima laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada pukul 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.
Remaja tersebut tidak pulang ke rumah selepas latihan dan sebaliknya dikatakan mengikuti rakannya ke satu lokasi yang belum dapat dipastikan. – UTUSAN