KLANG: Cubaan menyeludup puluhan kilogram (kg) makanan sejuk beku termasuk daging katak bernilai RM1.4 juta sempena sambutan Tahun Baharu Cina tumpas apabila dirampas pihak berkuasa, bulan lalu.
Kesemua makanan itu ditemukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam empat buah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara di sini, 9 dan 12 Disember lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kejayaan membanteras penyeludupan itu diperoleh pihaknya yang menjalankan serbuan di dua pelabuhan tersebut dan menahan empat kontena sejuk beku mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan pelbagai jenis daging sejuk beku seperti katak, itik, kambing dan dada ayam. Turut ditemui, makanan sejuk beku antaranya kuih pau selain dumpling (ladu) udang dan jagung,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, keseluruhan rampasan seberat 77,059 kg itu dianggarkan bernilai RM1.43 juta termasuk duti cukai.
“Kesemua dagangan itu disyaki tidak mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis). Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam kerana mengimport barang larangan,” jelasnya.
Norlela memaklumkan, siasatan awal pihaknya mendapati semua makanan itu dipercayai bagi pasaran negara ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Kita percaya bahan yang cuba diseludup masuk ke Malaysia itu diimport dari sebuah negara Asia. Makanan itu diikrar secara tidak betul sebagai ladu sejuk beku dan kek bagi mengelak dihidu pihak berkuasa,” ujarnya.
Dalam kes berasingan, Norlela memberitahu, pihaknya merampas 9.7kg tembakau mentah dan kunyah bernilai 1.69 juta termasuk cukai, Oktober serta Nomember lalu.
“Kesemua bahan yang diikrar sebagai makanan dan minuman itu ditemukan dalam tiga buah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat.
“Rampasan meliputi 8.1kg tembakau kunyah dan 1.5kg tembakau mentah yang disyaki tiada memiliki permit import,” katanya. – UTUSAN