SHAH ALAM: Akibat tiada lesen memandu dan didakwa cuba menyogok seorang anggota polis dengan RM100, seorang buruh warga Indonesia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Menurut sumber, lelaki terbabit ditahan di pejabat SPRM pada pukul 12 tengah hari semalam selepas cuba memberi wang rasuah kepada anggota polis ketika ditahan kerana tidak mempunyai lesen memandu.
Katanya, buruh berkenaan diperiksa oleh polis pada 13 Januari lalu kira-kira pukul 11.33 pagi dekat jalan Bestari Jaya, Ijok berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Bestari Jaya, sebelum ditahan SPRM Cawangan Kuala Selangor.
“Lelaki itu memberikan wang rasuah berjumlah RM100.00 kepada anggota polis sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan atas kesalahan tiada lesen memandu di bawah Seksyen 26(1).
“Selain itu, dia turut didapati dikenakan tindakan kerana lesen kenderaan motor tamat tempoh di bawah Seksyen 15(1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Justeru, lelaki berusia 27 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini bagi permohonan reman dan dibenarkan direman selama lima hari sehingga 19 Januari.
“Pada pukul 9.35 pagi, permohonan reman dilakukan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis di Mahkamah Majistret Shah Alam dan dibenarkan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Ahad,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan siasatan tersebut di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. – UTUSAN