KUALA LANGAT: Seorang penganggur direman dua hari bagi membantu siasatan kes tular cuba merakam gambar di bawah kain wanita di sebuah pasar raya di Jenjarom di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, lelaki tempatan berusia 30-an yang ditahan polis itu mengaku terlibat dalam kes berkenaan.
“Berdasarkan siasatan, suspek mengaku terlibat dengan siasatan dan dia di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu. Lelaki yang tidak bekerja itu turut mengaku kali pertama melakukan perbuatan tersebut,” katanya, malam tadi.
Tambah beliau, suspek kini direman dua hari bagi siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Utusan Malaysia melaporkan polis menerima kes gangguan seksual daripada seorang wanita tempatan, kira-kira pukul 10.36 pagi, 9 Disember lalu.
Ketika kejadian, mangsa berada di dalam pasar raya tersebut sebelum menyedari dirakam seorang lelaki tempatan.
Mangsa kemudian memeriksa rakaman CCTV premis itu dan lelaki berkenaan didapati mengangkat kain pengadu dan cuba merakam ke arah bawah pakaiannya.
Baru-baru ini, tular sebuah video berdurasi 25 saat memaparkan seorang lelaki berada di belakang wanita sambil memegang telefon bimbit.
Lelaki itu kemudian bertindak cuba merakam ke bawah kain wanita itu, namun disedari mangsa. – UTUSAN