ALOR GAJAH: Pemandu kereta Perodua Axia yang aksinya tular dalam media sosial melakukan aksi berbahaya dengan memandu secara ‘zig-zag’ di Kilometer 216 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, telah ditahan polis awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pemandu lelaki berusia 35 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas klip video berdurasi 69 saat itu dikesan pihaknya kira-kira pukul 3.20 petang, 4 Disember lalu.
Ujarnya, video tular berkenaan memperlihatkan sebuah kereta dengan nombor pendaftaran tidak pasti didapati dipandu secara melulu dan berbahaya, lantas menimbulkan kegusaran masyarakat.
“Video menunjukkan sebuah kereta Perodua Axia nombor pendaftaran tidak pasti yang dipandu secara melulu dan berbahaya dengan pergerakan dipandu dalam keadaan zig-zag ke kiri dan ke kanan jalan.
“Perbuatan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 216 PLUS arah utara di bawah pentadbiran daerah Alor Gajah. Susulan itu, satu tangkapan terhadap seorang lelaki berumur dalam lingkungan 35 tahun telah dilaksanakan bagi membantu siasatan,” katanya.
Aksi tidak bertanggungjawab pemandu itu turut mengakibatkan keretanya melanggar pengadang besi di sebelah kiri lebuh raya dan hampir terbabas ke dalam longkang.
Tambah Ashari, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun,” katanya. – UTUSAN