KUALA LANGAT: Seorang lelaki tular cuba merakam gambar bawah kain wanita di sebuah pasar raya di Jenjarom di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima kes gangguan seksual daripada mangsa tempatan itu, kira-kira pukul 10.36 pagi, 9 Disember lalu.
Menurutnya, ketika kejadian wanita itu berada di dalam pasar raya tersebut sebelum menyedari dirakam seorang lelaki tempatan.
“Mangsa kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu bagi tindakan lanjut. Lelaki itu didapati mengangkat kain pengadu dan cuba merakam ke arah bawah pakaian tersebut,” katanya malam tadi.
Tambah Akmalrizal, pihaknya masih giat mengesan suspek terlibat bagi membantu siasatan.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 25 saat memaparkan seorang lelaki berada di belakang wanita sambil memegang telefon bimbit.
Lelaki itu kemudian bertindak cuba merakam ke bawah kain wanita yang sedang memegang troli itu, namun disedari mangsa. – UTUSAN