Kapal tunda seludup diesel RM900,000 di perkampungan air

Kapal tunda seludup diesel RM900,000 di perkampungan air

Diesel
AZMAN Adam (kiri) menunjukkan saluran penyambungan haram yang dibuat dari tangki kapal tunda untuk pemindahan diesel selepas lokasi itu diserbu dekat dekat Jeti Bagan Hailam, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kegiatan menyeludup diesel dari kapal tunda ke tangki minyak bernilai RM900,000 di perkampungan air tumpas selepas digempur pihak berkuasa di Jeti Bagan Hailam di sini, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 3 pagi itu dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi hasil risikan selama dua bulan dan menemukan puluhan ribu liter diesel serta saluran penyambungan diesel sepanjang lebih 200 meter melalui bawah jeti tersebut.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, siasatan menerusi serbuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mendapati jeti berkenaan digunakan bagi kapal-kapal tunda berlabuh.

Menurutnya, operasi pemindahan haram itu dilakukan terutama pada waktu malam berikutan dipenuhi kapal dan bot sekali gus mengaburi pihak berkuasa.

“Ketika serbuan, sebuah kapal tunda sedang berlabuh dan diesel dipercayai sedang dipam keluar ke tangki simpanan. Seramai lima lelaki termasuk empat warga Indonesia berusia 30 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Jelasnya, kuantiti diesel di dalam tangki bot dan tangki simpanan yang dirampas melebihi 50,000 liter.

“Seorang lelaki tempatan yang mengaku pemilik kapal tunda itu turut ditahan bagi mendapatkan butiran lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” ujarnya.

Tambah beliau, kegiatan itu dipercayai berlaku sejak sekian lama namun tidak setiap hari dan menunggu waktu sesuai terutama ketika air pasang surut selain permintaan serta sumber bekalan.

“Siasatan lanjut turut akan memfokuskan sumber bahan itu diperoleh sama ada daripada pembekal sah atau sebaliknya. Selain itu, kita menyiasat sama ada wujud komplot dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, tegas Azman, sebanyak 16,876 pemeriksaan dilakukan pihaknya bermula 1 Januari hingga 10 Disember lalu di seluruh negara.

“Jumlah itu meliputi 732 kes yang telah dihasilkan dengan nilai rampasan keseluruhan RM73. 11 juta. Bagi Semenanjung, petrol merupakan bahan yang paling banyak diseludup manakala Sabah dan Sarawak melibatkan diesel,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya