KLANG: Taktik sindiket penyeludupan beras dari Pakistan mengikrar barangan sebagai kacang gajus terbongkar selepas dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini, Julai lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, operasi itu dijalankan hasil maklumat dan risikan pihaknya mengenai penyeludupan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan pasukan penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Dua menahan satu kontena sepanjang lebih enam meter dan menjalankan pemeriksaan menyeluruh.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sebanyak 18,500 kilogram (kg) beras yang bernilai RM169,400 termasuk cukai.
“Semakan mendapati beras yang diseludup itu diikrarkan sebagai kacang gajus dan beras Basmathi bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Tambah Norlela, siasatan mendapati beras itu diimport dari Pakistan ke negara ini tanpa sebarang permit.
“Siasatan lanjut dan usaha mengesan pihak terlibat dalam kegiatan itu sedang giat dijalankan. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan membuat pengikraran tidak betul,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norlela memberitahu, pihaknya merampas 13 kontena mengandungi 300,000 kg sisa elektronik di lokasi sama, September lalu.
“Kesemua ‘e-waste’ bernilai RM1.65 juta dipercayai dari Eropah itu diseludup ke negara ini tanpa sebarang dokumen kelulusan.
“Barang dagangan itu didapati diikrarkan sebagai aloi aluminium dan sisa elektronik disenaraikan sebagai bahan larangan yang pengimportannya tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam,” jelasnya. – UTUSAN