JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Johor menahan seramai 129 pekerja asing di sebuah kilang di Senai, kelmarin kerana menggunakan dokumen pengenalan diri rakyat tempatan untuk memohon kerja.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, serbuan dilakukan kira-kira 6 petang itu susulan risikan dua hari hasil maklumat diperolehi.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan penahanan empat warga asing sebelum ini yang mengaku bekerja menggunakan identiti palsu di sebuah kilang di situ.
“Dalam operasi itu, daripada 292 warga asing dan warga tempatan diperiksa, kita menahan 74 lelaki dan 54 perempuan warga asing yang bekerja di kilang berkenaan termasuk seorang majikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, lima warga asing termasuk dua wanita, turut ditahan memiliki dan menggunakan kad pengenalan warga tempatan.
“Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Johor menahan lima warga asing itu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu memiliki dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.
“Tahanan warga asing ditempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN