KUALA LANGAT: Polis memantau tiga lokasi yang didakwa berlaku kebanjiran warga asing seperti di Pandan Indah, Sungai Buloh dan Kuala Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk melakukan serbuan bagi mengesan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Selangor bersama dengan JIM, kita dalam proses untuk melakukan beberapa operasi, bukan sahaja di kawasan tersebut (Pandan Mewah) tetapi di beberapa kawasan lain yang kita kesan ada lambakan warga asing yang kita saksi keberadaan mereka.
“Akan ada beberapa operasi lagi termasuk di kawasan tadi. Antara kawasan lain seperti Sungai Buloh dan Kuala Selangor. Pandan Mewah antara tiga lokasi dalam pemantauan kita melalui risikan dan kita buat pemeriksaan atau operasi bersepadu bersama JIM,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Selangor antara Asisten Komisioner Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh dengan Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin yang akan memangku jawatan itu.
Sebelum ini, warga asing dilaporkan membanjiri kawasan di Pandan Mewah sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk, malah terdapat sebahagian mereka melakukan perkara tidak sopan seperti tidur dalam keadaan bogel ketika mabuk.
Dalam pada itu, Hussein juga memaklumkan pihaknya melakukan pembenterasan secara berterusan terhadap aktiviti lumba haram atau ‘rempit’ yang kerap berlaku dekat kawasan Elmina, Shah Alam.
“Polis berterusan melakukan pembenterasan bersabit dengan lumba haram, jadi kita sentiasa membuat pemantauan dan menerima maklumat daripada orang awam. Polis ambil tindakan, termasuk buat tangkapan dan sebagainya.
“Buat sekali (operasi) tak habis terus, ada lagi mereka buat (aktiviti merempit). Jadi, kita akan berterusan banteras kegiatan itu,” ujarnya. – UTUSAN