KUALA LANGAT: Polis memburu tiga lelaki yang memecah kereta milik pelanggan sebuah kedai alat perkakas di sekitar Banting di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki warga tempatan, kira-kira pukul 9.40 pagi.
“Siasatan awal mendapati pengadu yang membeli barangan di kedai itu terdengar bunyi penggera kereta. Dia kemudian melihat pintu kereta itu terbuka namun tidak barangan dilaporkan hilang.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu mendapati tiga lelaki mengumpil pintu sebelum melarikan diri dengan dua kereta Proton Wira,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Tambahnya, pihak premis membuat hantaran rakaman video berdurasi enam minit di media sosial sebagai langkah berwaspada kepada orang awam.
“Polis masih giat mengesan suspek terlibat dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN