ALOR GAJAH: Tahanan lelaki warga Indonesia yang diburu polis kerana melarikan diri selepas dihadapkan di Kompleks Mahkamah Alor Gajah di sini, Isnin lalu berjaya ditangkap semula petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, suspek diberkas kira-kira pukul 6.10 petang di sebuah kebun durian di Taman Melaka Pindah.
Jelasnya, ketika ditahan lelaki berusia 38 tahun itu telah membuka garinya dan berlaku aksi kejar mengejar antara suspek dengan pihak berkuasa.
“Satu operasi yang dikenali sebagai Op Kesan telah dilancarkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan turut melibatkan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka.
“Menerusi operasi tersebut, polis telah berjaya menahan individu berkenaan di sebuah kebun durian di Taman Melaka Pindah mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melarikan diri daripada tahanan.
“Sabit kesalahan ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang tahanan lelaki warga Indonesia sedang diburu polis kerana melarikan diri selepas dihadapkan di Kompleks Mahkamah Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi itu, suspek sedang dibawa masuk ke dalam kenderaan JKDM, selepas sesi sebutan semula kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ujarnya, suspek dipercayai melarikan diri dalam keadaan tangan bergari dengan memanjat pagar mahkamah menuju ke kawasan semak. – UTUSAN