KLANG: Seorang lelaki yang diburu kerana disyaki terlibat menyamun dua beranak dan menoreh lengan salah seorang mangsa di Bandar Bukit Tinggi 1 di sini, minggu lalu berjaya dicekup polis semalam.
Suspek berusia 21 tahun itu diberkas di sebuah rumah di sekitar Taman Sentosa, kira-kira pukul 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan itu susulan kes wanita berusia 30 tahun yang disamun dua lelaki bermotosikal pukul 8.20 malam, 16 November lalu.
Menurutnya, tangkapan terbaharu itu turut membawa kepada rampasan motosikal dan pakaian digunakan suspek ketika kejadian.
“Semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Hoong Fong, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Bilik Gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan.
Wanita itu dan ibunya yang berusia 60 tahun sebelum ini dilaporkan sedang berjalan menuju ke tempat letak kenderaan di Jalan Batu Nilam 4, Bandar Bukit Tinggi 1, di sini.
Dua beranak itu kemudian didatangi dua lelaki bermotosikal lalu mengacukan pisau sebelum berlaku pergelutan antara mereka.
Suspek menoreh lengan tangan mangsa dan jari kiri ibunya sebelum melarikan beg tangan.
Semakan mendapati salah seorang suspek yang telah diberkas mempunyai tujuh rekod dadah dan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan ketika melakukan rompakan.
Suspek turut terlibat dalam kes ragut yang tular baru-baru ini di bawah pentadbiran IPD Klang Utara. – UTUSAN