Polis buru tahanan warga Indonesia kes dadah larikan diri

Polis buru tahanan warga Indonesia kes dadah larikan diri

SUSPEK yang diburu kerana melarikan diri selepas dihadapkan di Kompleks Mahkamah Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang tahanan lelaki warga Indonesia sedang diburu polis kerana melarikan diri selepas dihadapkan di Kompleks Mahkamah Alor Gajah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi itu, suspek sedang dibawa masuk ke dalam kenderaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), selepas sesi sebutan semula kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ujarnya, suspek dipercayai melarikan diri dalam keadaan tangan bergari dengan memanjat pagar mahkamah menuju ke kawasan semak.

“Suspek seorang lelaki warga asing berusia awal 30-an berjaya melarikan diri dalam keadaan tangan bergari di depan.

“Ketika kejadian, suspek memakai baju kemeja-T berwarna biru muda dan berseluar panjang putih. Suspek dibawa ke mahkamah untuk sebutan semula kes yang dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah Ashari, polis melancarkan Op Tutup Dan Op Kesan untuk mencari dan menangkap semula suspek dengan turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9).

“Setakat ini suspek masih lagi gagal dikesan. Kes disiasat di bawah Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat suspek boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah atau balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN