JASIN: Lapan individu antaranya pesara kerajaan ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi bersepadu dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap empat buah rumah dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham di sini, awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, serbuan kira-kira pukul 12 tengah malam dengan kekuatan seramai 70 anggota itu menemukan pelbagai buku berkaitan ajaran berkenaan.
Ujarnya, antara buku yang dirampas adalah Ruhul Qudus Eksistensi dan Esensi al-Quran, Jalan Kebenaran Universal, Renungan Spiritual dan Membaca Alam Membaca Zaman.
“Pihak berkuasa telah menerima aduan awam yang memaklumkan bahawa terdapat penyebaran dan pengamalan ajaran Millah Abraham yang telah difatwa dan diwartakan di Melaka sebagai menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Pemeriksaan dan penggeledahan telah dilaksanakan ke atas rumah pengikut ajaran sesat Millah Abraham dan tangkapan telah dilakukan terhadap lapan individu iaitu lima lelaki dan tiga perempuan.
“Kesemua mereka berumur dalam lingkungan antara 28 hingga 72 tahun. Selain itu, peralatan elektronik seperti komputer riba dan telefon bimbit turut dirampas untuk tujuan forensik digital,” katanya.
Tambah Rahmad, dalam soal siasat dijalankan, ada antara mereka mengaku telah beberapa tahun tidak menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.
Jelasnya, proses pengajian dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa aplikasi tertentu dan mereka juga aktif merekrut ahli baharu terdiri daripada keluarga dan kenalan.
“Kesemua mereka disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu menghina agama Islam dengan mengingkari atau melanggar fatwa yang telah diwartakan.
“Mereka juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 60 enakmen sama iaitu kesalahan ajaran salah dan Seksyen 48 iaitu kesalahan penerbitan agama yang berlawanan dengan hukum syarak,” katanya. – UTUSAN