SHAH ALAM: Beli, bungkus dan jual semula.
Demikian taktik licik seorang pegawai pemasaran yang meraih keuntungan bulanan sehingga RM50,000 dengan menjual ganja dan makanan ringan dadah secara atas talian sejak setahun lalu.
Lelaki tempatan berusia 37 tahun itu dipercayai membeli bahan haram berkenaan secara ‘online’ sebelum membungkus dan menjualnya di pasaran menerusi aplikasi Telegram.
Kegiatan haram suspek secara solo itu bagaimanapun terbongkar apabila dicekup polis dan membawa kepada rampasan dadah hampir RM6.2 juta di sebuah kondominium di Damansara, 6 November lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi khas itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerusi hasil risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah berkenaan.
Menurutnya, hasil penahanan suspek antaranya membawa kepada rampasan bunga ganja seberat 140.9 kilogram (kg) dan 8.5kg ganja.
“Selain itu, polis merampas 689 peket makanan ringan terutama coklat yang disyaki mempunyai campuran ganja seberat 37.9kg.
“Pemeriksaan di kondominium itu juga menemukan cendawan mengandungi dadah seberat 847 gram dan cecair vape dadah berisipadu 80 mililiter (ml),” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Jelas Hussein, siasatan mendapati suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengirim dadah itu kepada pelanggan.
“Urusan pembelian dan penjualan dadah itu dilakukan secara atas talian dengan melibatkan pasaran dalam dan luar negara ini.
“Suspek dipercayai menjual bunga ganja dengan harga RM36 bagi satu gram, manakala cokelat dadah sehingga RM280 sepeket dan RM600 bagi seunit vape,” tambahnya.
Tambah beliau, lelaki itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Semakan mendapati suspek tiada memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan saringan air kencing negatif dadah. Tindakan turut dilakukan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 menerusi sitaan sebuah kereta Proton X50 bernilai RM76,000,” ujarnya. – UTUSAN