SHAH ALAM: Polis mengenal pasti lorong tikus atau laluan yang digunakan sindiket pengedaran dadah untuk menyeludup dadah antara Malaysia dan negara jiran di Sungai Golok, Kelantan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya akan membanteras habis-habisan pengedaran bahan terlarang itu dengan pengesanan kesemua lorong serta laluan ini.
“Saya mengarahkan JSJN Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta agensi keselamatan berkaitan supaya isu penyeludupan dadah dapat ditangani secara berkesan.
“Selain itu, kerjasama ini turut berfokus kepada pengawalan sempadan Malaysia (di Kelantan) serta mengenal pasti lorong tikus serta kawasan yang menjadi tumpuan (hot spot) kegiatan penyeludupan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini.
Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan serta menangani penyeludupan dadah dari kedua-dua negara.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi popular dari Kelantan ditahan polis Thailand kerana disyaki membawa 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok pada 1 November lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan dilaporkan berkata, pihaknya hampir selesai melengkapkan kertas siasatan kes terbabit dan akan menyerahkan kertas siasatan itu kepada pihak pendakwa raya Thailand secepat mungkin.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Kok Chin memberitahu pihaknya komited untuk membanteras jenayah dadah di Selangor.
Menurutnya, Januari sehingga Oktober lalu, JSJN IPK Selangor membuat 553 serbuan berkaitan dadah dalam Operasi (Op) Sarang.
“Dalam tempoh sama, polis menghapuskan 16 sarang dadah di seluruh negeri. Sebanyak 2,136 orang yang terdiri pengedar dan penagih dadah ditahan dalam operasi sama.
“Sebanyak 3.072 kilogram (kg) heroin, syabu (1.563 kg), ganja (351 gram), daun ketum (6.8 kg) dan air ketum (9.9 liter) berjaya dirampas dalam Op Sarang tahun ini,” ujarnya. – UTUSAN