Kekasih gelap seludup 94.7 kg syabu ke Indonesia diberkas

Kekasih gelap seludup 94.7 kg syabu ke Indonesia diberkas

Syabu
KHAW Kok Chin menunjukkan puluhan bungkusan berisi dadah yang berjaya dirampas dalam operasi itu dekat Ibu pejabat Kontinjen Polis Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis menahan sepasang kekasih gelap yang disyaki menyeludup keluar syabu ke Indonesia dari negara ini bernilai RM3.3 juta dalam satu serbuan ke atas rumah tumpangan di Sekinchan, Sabak Bernam pada 21 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya berjaya menjejaki pasangan tersebut setelah membuat risikan terhadap mereka sejak tiga bulan lalu.

“Sepasukan polis daripada bahagian JSJN Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun dan seorang wanita Indonesia berumur 28 tahun di dalam sebuah bilik di rumah tumpangan itu, kira-kira pukul 5 petang.

“Ketika serbuan di dalam bilik itu, polis menemui tiga peket plastik berisi dadah jenis syabu anggaran berat 83.15 gram (g),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Susulan daripada tangkapan itu, suspek lelaki pada hari sama telah membawa polis ke sebuah rumah sekitar Sungai Air Tawar, Sabak Bernam yang mana terdapat sebuah kereta jenis Honda Accord di rumah berkenaan.

Tambahnya, pemeriksaan ke atas bonet kereta itu, polis telah menemui 91 bungkusan plastik yang berisi dadah disyaki jenis syabu dianggarkan seberat 94.64 kilogram (kg).

“Jumlah keseluruhan dadah yang berjaya dirampas operasi ini berjumlah 94.723 kg yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta. Modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dadah syabu daripada negara sebelah utara Malaysia dan membawa masuk bekalan ini ke negara ini menggunakan jalan darat.

“Syabu ini kemudiannya akan diseludup keluar ke Indonesia menggunakan jalan laut,” katanya.

Jelas Kok Chin, suspek lelaki dipercayai bertindak sebagai penghantar (transporter) dadah berkenaan dan akan menerima upah sehingga RM140,000 sekiranya berjaya membuat penghantaran dadah ke Indonesia.

Suspek lelaki bekerja sebagai mekanik sebuah bengkel kereta, sudah berkahwin dan tiga orang anak mempunyai dua rekod lampau jenayah dan lima rekod lampau dadah.

“Manakala suspek wanita pula tidak bekerja dan bujang. Saringan awal polis terhadap dua suspek mendapati mereka positif methamphetamine.

“Dua suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula 22 sehingga 27 November untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Chin memberitahu, pihaknya akan menghubungi polis Indonesia serta mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa negara itu pada 27 November ini untuk bekerjasama menyelesaikan kes tersebut serta bertukar maklumat berhubung isu dadah di kedua-dua negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya