MELAKA: Sebuah gudang menyimpan, memproses dan mengedar barangan makanan terletak di Pulau Gadong di sini yang disyaki menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu Jabatan Imigresen, semalam.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, serbuan ke atas lokasi yang dipercayai beroperasi tanpa lesen itu berjaya menahan seramai 22 pekerja warga asing.
Ujarnya, siasatan awal mendapati gudang berkenaan menggunakan khidmat ejen pekerja asing untuk membekalkan tenaga kerja bagi kerja-kerja memproses dan menghantar barangan makanan dan minuman.
“Seramai 22 pekerja warga asing yang bekerja di gudang ketika itu telah diperiksa dan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan juga melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.
“Mereka terdiri daripada 10 lelaki Pakistan, 10 lelaki Nepal dan dua lelaki warga India telah diperiksa dan ditahan dalam serbuan tersebut yang berumur lingkungan 20 hingga 35 tahun.
“Sebanyak dua Borang 29 (saman kepada saksi) telah dikeluarkan kepada seorang lelaki warganegara Malaysia yang merupakan pengurus dan seorang wanita warganegara Malaysia yang merupakan kerani di gudang berkenaan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Tambah Anirwan Fauzee, pihaknya turut menyerbu sebuah kedai makan dan pasar borong di Melaka Tengah yang membawa kepada penahanan 11 warga asing kerana didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, selain melanggar syarat pas atau permit dikeluarkan.
“Kita mengesan ramai warga asing yang menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dengan tidak pulang ke negara asal dan bekerja secara tidak sah serta terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap pemilik premis dan majikan yang menggajikan warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah serta sengaja memberi perlindungan pada warga asing yang telah melanggar Akta Imigresen 1959,” katanya. – UTUSAN