SHAH ALAM: Cubaan kali kedua seorang pembantu restoran menyeludup syabu ke Sabah tidak berhasil apabila dicekup polis di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, baru-baru ini.
Lelaki berusia berusia 23 tahun yang masih bujang itu dipercayai pernah melakukan kegiatan haram berkenaan pada September lalu dengan bayaran upah sehingga RM5,000.
Namun, tindakan nekad suspek mengundang padah apabila ditahan dengan rampasan dadah seberat lapan kilogram (kg) bernilai RM257,300, kira-kira pukul 5.30 pagi, 7 November.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati sindiket pengedaran dadah mengupah suspek dan seorang lagi lelaki dengan memberi tiket penerbangan dua hala dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, dua individu itu dipercayai datang dua hari sebelum kejadian dan menginap di sebuah hotel di Putrajaya.
“Setibanya di Semenanjung, sindiket dikatakan menghantar dadah kepada mereka sebelum suspek pulang semula ke Sabah. Apabila pembantu restoran itu mendaftar masuk bagasi, kita mengesan dadah dan menahannya bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Jelas Hussein, seorang lagi rakan suspek yang terlepas daftar masuk turut berjaya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada hari sama.
“Penahanan itu turut membawa kepada rampasan syabu seberat 23.5kg dan kesemua dadah tersebut adalah bagi pasaran di sekitar Sabah. Kedua-dua mereka melakukan kegiatan itu buat kali kedua selepas kali pertama pada September lalu,” ujarnya.
Tambah beliau, semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dadah dan turut positif bahan haram itu.
“Suspek direman selama tujuh hari bago membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN