PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan geng mencuri motosikal dianggotai 10 lelaki yang menyamar sebagai anggota polis.
Penahanan itu susulan laporan polis yang dibuat oleh dua mangsa berusia 18 dan 21 tahun.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, modus operandi kumpulan itu adalah dengan mengadakan ‘sekatan’ jalan raya di laluan motosikal Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Restoran Jejantas Sungai Buloh arah selatan.
“Suspek berusia antara 25 dan 39 tahun menahan dua mangsa terbabit yang menunggang sebuah motosikal dengan menyamar sebagai polis.
“Mangsa berasa takut apabila suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis lalu membenarkan pemeriksaan dibuat ke atas motosikal sebelum bertindak melarikan barangan peribadi dan kenderaan mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek yang bekerja sebagai pemandu trak penunda, penghantar barang, mekanik dan juruteknik menjalankan kegiatan jenayah tersebut sejak Julai lalu.
Beliau menjelaskan, mereka tidak hanya menyasarkan mat rempit tetapi juga penunggang motosikal pada waktu malam sehingga awal pagi.
“Hasil semakan mendapati tujuh daripada 10 suspek mempunyai 26 rekod jenayah lampau dan 10 rekod kesalahan dadah.
“Hasill ujian air kencing mendapati dua daripadanya positif dadah,” katanya.
Polis turut merampas tujuh buah motosikal, satu enjin dan satu casis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan. – UTUSAN