Tabib Adam tinggalkan markas, dipercayai lari ke Singapura

Tabib Adam tinggalkan markas, dipercayai lari ke Singapura

OPERASI dijalankan JAIM di Markas Perubatan Islam Jarak Jauh Tabib Adam di Masjid Tanah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Operasi yang dilakukan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di markas Perubatan Islam Jarak Jauh Tabib Adam yang beroperasi di Masjid Tanah di sini, kelmarin gagal menahan Adam M. Isa memandangkan individu itu dipercayai telah melarikan diri ke Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan penguatkuasaan dilakukan selepas menerima aduan awam yang menyatakan bahawa pusat perubatan itu masih beroperasi, walaupun fatwa pengharaman telah diwartakan di negeri ini.

Jelasnya, dalam penggeledahan dijalankan, barang-barang kes yang dirampas antaranya papan tanda di pintu gerbang, buku resit, ubat-ubatan, risalah berkaitan produk kesihatan dan lain-lain.

“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka telah memutuskan bahawa amalan dan aktiviti perubatan Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga atau pusat terapi atau apa-apa nama amalan dan aktiviti perubatan Iain yang dikaitkan dengan Adam M. Isa dan pengikutnya.

“Didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada segi akidah dan syariah.

“Amalan dan aktiviti perubatan ini juga bercanggah dengan Garis Panduan Amalan Pengubatan dan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil memberi peringatan kepada masyarakat Islam khususnya di negeri ini agar tidak mendapatkan khidmat Perubatan Islam Jarak Jauh Tabib Adam kerana ia telah difatwakan sesat pada 12 September 2024.

Abdul Halim menjelaskan, kaedah digunakan Adam yang mempunyai pusat rawatan di Masjid Tanah disahkan bercanggah dengan hukum syarak.

Tambah Rahmad, JAIM membuat tangkapan ke atas dua wanita berumur 38 dan 44 tahun bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan aktiviti perubatan yang dikaitkan dengan Adam, walaupun selepas fatwa diwartakan.

Katanya, Adam juga mempunyai kes perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas pertuduhan bagi kesalahan Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 iaitu bersekediaman dengan perempuan yang bukan isteri dan bukan mahramnya.

“Tarikh perbicaraan selanjutnya adalah pada 5 Februari 2024. Adam diminta supaya memberikan kerjasama untuk datang ke JAIM bagi tujuan membantu siasatan. Di samping itu, kerjasama orang ramai juga diperlukan bagi menyalurkan maklumat kepada JAIM menerusi talian 017-2661280,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya