Rakyat Melaka ditipu RM200,000 sehari

Rakyat Melaka ditipu RM200,000 sehari

MOHD. NOOR HELMY ABDUL HALEM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Nilai kerugian disebabkan aktiviti penipuan atau scammer yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bermula Januari 2024 sehingga semalam adalah berjumlah lebih RM61 juta.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem mendedahkan, secara purata rakyat Melaka ditipu RM200,000 sehari kerana ketamakan diri sendiri.

Jelasnya, modus operandi penipuan yang berlaku di negeri ini antaranya pelaburan, kerja kosong, pembelian barangan dan percintaan dalam talian.

“Mengikut rekod JSJK IPK Melaka, jumlah terkumpul daripada mangsa penipuan setakat semalam berjumlah RM61,644,080.46.

“Angka itu menunjukkan trend peningkatan sekitar lebih RM200,000 sehari apabila rekod pada tiga hari sebelumnya adalah RM61,073,897.07, RM61,200,957.07 dan RM61,424,860.12.

“Ini bukan kadar hasil negeri Melaka, ini adalah nilai terkumpul kekayaan scammer menipu orang Melaka untuk tahun ini. Pendapatan scammer adalah secara purata kurang lebih RM200,000 setiap hari,” katanya.

Tambah Mohd. Noor Helmy, perkembangan itu amat membimbangkan memandangkan masyarakat begitu mudah terpedaya dengan janji manis sindiket terutama melibatkan skim cepat kaya, meskipun pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan pihak berkuasa.

“Tolonglah jangan mudah sangat terpedaya, jangan tamak haloba. Sentiasa berhati hati, semak sebelum membeli. Berbincang dengan ahli keluarga jika ada yang tidak kena,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN