KLANG: Seramai 38 warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan polis dalam satu serbuan menerusi Operasi (Op) Lusuh terhadap sebuah premis yang menjalankan perniagaan kitar semula dekat Taman Perindustrian Pulau Indah, di sini, kelmarin.
Menerusi operasi yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu mengesan premis terbabit beroperasi secara haram dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 24 lelaki dan 14 wanita berusia 20 hingga 49 tahun bekerja di premis berkenaan.
Menurutnya, manakala lelaki warga tempatan berusia 41 tahun itu pula dipercayai bertindak sebagai penjaga premis tersebut.
“Susulan operasi yang bermula pukul 10.30 pagi itu polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 iaitu bagi kesalahan mengambil pekerja yang tidak memiliki pas yang sah serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Polis juga membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Tambahnya selain Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, MBDK turut mengenakan empat kompaun ke atas penjaga premis atas kesalahan menyimpan dan memproses logam, tiada lesen iklan dan pejabat urusan.
Dalam pada itu, Hoong Fong memberitahu, Op Lusuh akan diadakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga-peniaga yang tidak mematuhi undang-undang.
“IPD Klang Selatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi terlibat.
“Polis juga menasihatkan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan sedemikian untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 agar tindakan sewajarnya diambil dengan segera,” ujarnya. – UTUSAN